SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak akan meningkatkan bilangan kakitangan perubatan serta kakitangan bukan perubatan bagi mempercepatkan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, ia termasuk doktor dan jururawat selain jawatankuasa khas turut diwujudkan untuk melihat bilangan kakitangan yang diperlukan di setiap kawasan.
"Kita memerlukan tenaga kerja tambahan ini untuk meningkatkan keupayaan sekali gus mempercepatkan pemberian vaksin secara keseluruhan supaya ia dapat diselesaikan pada penghujung Ogos ini," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sri Aman di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, kerajaan juga akan mendapatkan bantuan daripada fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Sarawak (UNIMAS), Segi College Sarawak dan juga di mana-mana rumah penjagaan.
Katanya, menerusi penambahan tenaga kerja terbabit, Sarawak akan dapat meningkatkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 sekitar 60,000 dos setiap hari.
Manakala tegasnya, kerajaan hanya membenarkan pendekatan masyarakat dibolehkan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dahulu meskipun nama tiada dalam sistem untuk penduduk yang tinggal di pedalaman sahaja.
"Setelah mendapatkan vaksin, penduduk rumah panjang dan penduduk kampung terbabit akan didaftarkan dalam sistem penerima vaksin di negeri ini," tambah beliau lagi.
Sumber dari : Jiwa Bakti